fbpx

Dewan Rakyat: Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional dibentang esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerangka Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 akan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah kesinambungan kepada usaha pembanterasan rasuah yang dimantapkan secara lebih spesifik mengenai dasar dan strategi pelaksanaan.

“Kita lihat umpamanya, masalahnya ialah penguatkuasaan dan sebab itu dalam strategi NACS ditekankan lima strategi teras dan ada substrategi dan strategi penguatkuasaan.

“Ini termasuk pendidikan, kebertanggungjawaban awam, suara rakyat dan insentif untuk membanteras rasuah ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) berhubung usaha pencegahan rasuah, meningkatkan tatakelola dan integriti pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selaras NACS 2024-2028.

NACS yang dilancarkan oleh Perdana Menteri pada 7 Mei lalu merupakan komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Sementara itu, Anwar menegaskan, tiada syarat ditetapkan supaya mana-mana Ahli Parlimen pembangkang yang mahu mendapatkan peruntukan perlu menyokong beliau.

Menurut beliau, peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang malah tidak sukar seperti yang cuba digambarkan termasuk dengan mengadakan acara larian.

“Kalau boleh sampaikan kepada semua wakil-wakil rakyat parti (pembangkang) dan segerakan perbincangan supaya hal ini tidak memanaskan suhu dewan ini.

“Tak payah berlari, joging ke…tak payah. Runding sahaja, bincang dan selesai,” katanya Ketika menjawab soalan tambahan Awang berkait perkara tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, tindakan disiplin akan diambil sekiranya terdapat bukti menteri atau agensi kerajaan menggunakan jentera kerajaan ketika kempen pilihan raya.

Jelas beliau, Jemaah Menteri sudah memutuskan sebarang penggunaan jentera kerajaan dalam kempen pilihan raya khususnya selepas hari penamaan calon adalah tidak dibenarkan.

“Kalau sebelum (hari penamaan calon) itu soal lain. Kalau ada bukti yang disampaikan tentunya kita akan ambil tindakan wajar.

“Saya tidak berdolak-dalik. Jika ada menteri atau agensi kerajaan gunakan jentera kerajaan semasa kempen, ia sudah melanggar komitmen Jemaah Menteri dan tindakan disiplin mesti diambil,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI