PUTRAJAYA – Sepasukan empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tiba di bangunan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) kira-kira pukul 11.20 pagi tadi.
Difahamkan, mereka berada di bangunan itu bagi mendapatkan dokumen berkaitan berhubung siasatan isu Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp.).
Tinjauan wartawan di lobi bangunan mendapati, pegawai SPRM itu dipecahkan kepada dua pasukan dan mereka dilihat menaiki lif secara berasingan.
Sumber memaklumkan, pasukan pegawai itu naik ke tingkat 7 yang menempatkan Cawangan Kawal Selia dan Penguatkuasaan.
Selepas sejam, empat pegawai SPRM itu dilihat keluar dari bangunan dengan membawa beberapa dokumen berkaitan dipercayai membabitkan kes HRD Corp. itu.
Ketika didekati wartawan, salah seorang pegawai itu memaklumkan, mereka belum selesai mengambil dokumen dan akan datang semula pada sebelah petang.
Sabtu lalu, SPRM mengesahkkan sudah mengenal pasti beberapa individu untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung isu HRD Corp seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dilaporkan berkata, pihaknya sudah terima laporan audit yang dikemukakan oleh KSU (Ketua Setiausaha) Kesuma.
“Antaranya isu pelaburan, pengurusan dana dan latihan, pembelian harta dan sebagainya. Oleh itu, satu pasukan khas dibentuk dan beberapa kertas siasatan sudah dibuka,” katanya. – KOSMO! ONLINE