CANBERRA – Pengunjung sebuah taman hidupan liar terkejut melihat seekor buaya gergasi memanjat pagar kurungan ketika diberi makan oleh penjaganya, lapor portal berita MailOnline semalam.
Kejadian itu dirakam di Taman Buaya Malcolm Douglas, bandar Broome, Australia Barat.
Buaya air masin itu dilihat memanjat pagar besi santuari tersebut.
Santuari itu menempatkan kira-kira 600 ekor buaya dan aligator.
Ketika kejadian, seorang renjer sedang memberi makan reptilia tersebut. Dia turut memberi amaran kepada pengunjung supaya bersiap sedia untuk melarikan diri.
Buaya itu kemudian turun semula daripada pagar dan masuk ke dalam kandangnya.
Seorang pemandu pelancong, Owen Douglas berkata, ia bukan perkara luar biasa untuk melihat buaya memanjat pagar.
“Buaya ini sangat agresif, jadi bagi seekor buaya memanjat tempat memberi makan seperti ini adalah sesuatu yang biasa,” katanya kepada saluran televisyen 9News. – AGENSI