ALOR SETAR – Sebuah gudang pemborong petrol dan diesel berlesen di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, dekat sini diserbu kerana disyaki menyeleweng bahan api tersebut pada semalam.
Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Muhammad Nizam Jamaludin berkata, serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu dilakukan hasil risikan selama dua minggu oleh penguat kuasa KPDN Kubang Pasu.
“Serbuan mendapati seorang pekerja premis warga tempatan berusia 37 tahun sedang mengisi petrol dan diesel ke dalam tangki dua lori treler bernombor pendaftaran asing.
“Kita juga mendapati dua treler tersebut dipercayai telah diubah suai dan dipasang tangki tambahan,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, petrol dan diesel masing-masing dianggarkan sebanyak 3,982 liter dan 2,148 liter berada di dalam tangki tambahan kenderaan berat berkenaan.
“Jumlah sitaan keseluruhan dianggarkan RM230,358.90. Seorang lelaki warganegara yang dipercayai pekerja premis dan dua lelaki Thailand berusia 36 tahun telah ditahan semasa kejadian untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122). – KOSMO! ONLINE