BINTANG legenda bola sepak negara, Azman Adnan menasihatkan barisan pemain muda negara agar memasang impian untuk beraksi pada liga luar negara bagi meraih pengalaman berharga untuk mengembangkan bakat ke peringkat lebih tinggi.
Ketika ini ada enam pemain kebangsaan berkelana ke luar negara iaitu Safawi Rasid (Portimonense), Luqman Hakim Shamsudin (K.V. Kortrijk), Hadi Fayyadh (Fagiano Okayama), Norsharul Idlan Talaha (BG Pathum), Mohamadou Sumareh dan Dominic Tan (Police Tero).
Kata Azman, galakan harus dilakukan dalam memastikan barisan pemain berbakat terus merebut peluang beraksi dalam kancah bola sepak luar negara memandangkan karier bola sepak bersifat sementara.
“Kepada pemain muda, saya harap mereka mengambil peluang jika ada tawaran berkelana ke Eropah kerana ia bukan sahaja bagus dari sudut karier peribadi, malah baik untuk memantapkan skuad kebangsaan.
“Ini kerana, pengalaman yang mereka ada tidak sama ketika bermain bola sepak di Malaysia. Tidak salah untuk mencuba dan paling penting adalah mentaliti harus kekal positif.
“Jika dilihat Korea dan Jepun, bola sepak mereka bertambah baik kerana pemain mereka berkelana ke luar terutama di Eropah,” katanya baru-baru ini.
Bagaimanapun, Azman tidak mahu mengulas mengenai keputusan Safawi yang mungkin menamatkan kontrak pinjaman lebih awal dan dijangka pulang ke Malaysia apabila jendela perpindahan dibuka Januari depan.
“Saya tidak mahu menyentuh mengenai Safawi kerana itu adalah keputusannya dan pihak pengurusan (Johor Darul Ta’zim),” katanya.