fbpx

FAM harap GLC tampil bantu sukan bola sepak negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) percaya sokongan semua agensi atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sangat penting dalam memastikan kelangsungan industri bola sepak negara.

Pandangan itu disuarakan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam usaha menarik minat mana-mana pihak untuk menjadi rakan penaja kepada FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Industri bola sepak tempatan yang menanggung kerugian gara-gara impak pandemik Covid-19 harus bangkit dengan bantuan semua pihak berkepentingan terutama kerajaan Persekutuan.

“Besar harapan kami andainya pihak kerajaan membantu bukan sahaja dari segi kebenaran penonton kembali hadir ke stadium tetapi juga sudut menghidupkan industri bola sepak secara keseluruhan termasuk industri hiliran,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Hamidin yang juga Presiden MFL membuat pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Kementerian Kewangan, Putrajaya kelmarin.

Pada perjumpaan itu, Hamidin memberi taklimat kepada Tengku Zafrul mengenai kea­daan semasa serta cabaran bola sepak menangani krisis dan implikasi kewangan gara-gara pandemik tersebut selain perancangan FAM dan MFL menghadapi musim 2021.

Mengulas lanjut, Hamidin mengakui dalam menguruskan bola sepak masa kini yang menggabungkan ciri-ciri hiburan dengan nilai komersial, dana besar sememangnya diperlukan.

“Bola sepak ketika ini sememangnya menuntut sokongan yang bukan sahaja dari sudut moral tetapi juga material bagi memastikan FAM kekal berdaya saing di pentas antarabangsa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN