BANGKOK – Polis Thailand menyoal siasat seorang wanita dan teman lelakinya selepas wanita berkenaan disyaki membunuh ibu mentuanya dengan menggunakan racun, lapor laman berita Thaiger semalam.
Mangsa yang dikenali sebagai Sarinee, 54, meninggal dunia pada 1 Julai lalu selepas minum minuman ringan campuran buah berwarna hijau yang diletakkan di luar rumahnya di wilayah Udon Thani.
Dia ditemui dalam keadaan mulut berbuih pada hari kejadian sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan).
Anak mangsa, Supachai yang juga suami suspek, hanya muntah-muntah selepas menghirup sedikit minuman itu.
Menurut Supachai, dia mengesyaki perbuatan itu dilakukan oleh isterinya, Monruedee selepas wanita tersebut meninggalkan rumah mereka kerana sering bertengkar dengan ibunya.
Katanya, suspek kerap dimarahi mangsa kerana enggan membuat kerja rumah dan menganggur selain tidak menyumbang kepada pendapatan isi rumah.
Tambah Supachai, suspek dan ibunya kali terakhir bertengkar kira-kira dua minggu sebelum mangsa ditemui mati. Ketika itu, Sarinee menggelar isterinya sebagai tidak berguna.
Suspek kemudian meninggalkan rumah tersebut dan tidak kembali lagi.
Saluran berita Channel 3 melaporkan bahawa minuman ringan itu disahkan tercemar dengan racun rumpai.
Meskipun tiada bukti kukuh untuk mengesahkan bahawa Monruedee ialah pembunuh, wanita itu dan rakannya dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan. – AGENSI