PETALING JAYA – Tohtonku Sdn. Bhd. (Tohtonku) menyumbang produk asas penjagaan kebersihan diri jenama Follow Me bernilai RM1 juta buat kumpulan memerlukan bersempena sambutan ulang tahun syarikat kali ke-60 tahun ini.
Ia sebagai usaha untuk meneruskan inisiatif tanggungjawab sosial syarikat dengan menyumbang semula kepada komuniti dan menyampaikan tanda penghargaan serta terima kasih buat pelanggan yang telah lama menyokong sejak penubuhannya pada 1964.
Sumbangan itu akan diberikan kepada Program Perumahan Rakyat (PPR) terpilih dan organisasi bukan kerajaan seperti Doctors Without Borders, Medecins Sans Frontieres (MSF) dan Yayasan SOL.
Pengarah Eksekutif Tohtonku, Jasper Lim berkata, pihaknya akan mengedarkan produk Follow Me yang terdiri daripada berus gigi, cecair pembasmi kuman, pelembap, pencuci, mandian badan dan syampu kepada kira-kira 13,000 individu daripada golongan yang memerlukan di sekitar Lembah Klang.
“Inisiatif ini bertujuan untuk memberi manfaat kepada komuniti B40 termasuk Orang Asli, orang kurang upaya dan anak-anak yatim,” katanya pada sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Terdahulu, Tohtonku telah mengedarkan sumbangan kepada kumpulan pertama penerima yang terdiri daripada penduduk PPR Taman Wahyu 2, PPR Seri Semarak dan Yayasan SOL pada Jun lalu yang memberi manfaat kepada seramai 6,300 individu.
Sumbangan seterusnya akan diedarkan untuk komuniti B40 di kawasan Sungai Besi, Keramat Permai serta Bandar Kinrara.
Tohtonku turut bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan amal seperti Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Community at Heart, Rumah Raudhatul al-Fareez dan Pertubuhan Rumah Kebajikan Kanak-kanak Home of Peace bagi melancarkan pengagihan produk kepada komuniti memerlukan.