fbpx

UMNO perlu sudah kenal pasti calon PRU-16

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOHARI berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di Bentong hari ini.

BENTONG – UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu lebih dinamik dengan mengenal pasti lebih awal calon pilihan raya umum akan datang, tidak hanya menunggu semasa proses pilihan raya umum.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon yang dipilih itu perlu segera turun padang melakukan gerak kerja agar dikenali oleh masyarakat setempat.

“Setiap bahagian ada Parlimen, ada Dewan Undangan Negeri (DUN), kita banyak sudah kalah, bila kalah kita tak boleh tunggu hari pencalonan, dua hari sebelum baru hendak cari calon.

“Kita mesti mula memikirkan calon kerana calon dikenalpasti kena buat kerja kepada masyarakat, tiga tahun lagi, kita kena buat kerja dalam masyarakat sebagai pembangkang kepada wakil rakyat yang tidak buat kerja,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong di sini hari ini.

Menurutnya calon yang dipilih perlu memenuhi kriteria yang bersesuaian berdasarkan kepada kawasan terbabit agar calon berkenaan dapat menawan hati pengundi dan membawa kemenangan kepada BN.

Katanya, calon yang dipilih juga perlu dilatih dan dibantu sekiranya mereka tidak mempunyai pengalaman agar mereka dapat menjadi pemimpin yang disukai masyarakat.

“Itu kita hendak buat, kita nak latih pemimpin UMNO ini belajar jadi pembangkang pasal dia selalu menang, menang, menang lepas itu bila dia kalah dia tidak reti.

“Kena belajar, ini baru betul akhirnya rakyat akan dapat manfaat, good wakil rakyat, ‘good opposition’,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, BN juga perlu mengatur strategi yang lebih dinamik dalam berhadapan dengan cabaran semasa memastikan parti itu terus relevan dan bangkit semula.

Katanya, strategi yang dirancang juga perlu realistik dengan kerjasama komponen BN dan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kemenangan BN.

“Strategi politik merangkumi banyak benda, calon, gerak kerja, kesesuaian kawasan yang kita hendak bertanding dan kita ada pemimpin atau tidak dalam kawasan itu, kalau ada pemimpin bagus dan kawasan itu bukan kawasan kita, kita boleh bincang dalam komponen parti, dalam kerajaan perpaduan pasal kita ada calon yang bagus.

“Tetapi kalau dalam sesuatu kawasan itu kita tidak ada ‘good ‘calon tetapi calon lain lebih bagus dalam kerajaan perpaduan ini, kita kena ‘give and take’, ia kena dinamik,”katanya.

Sementara itu mengulas mengenai komponen parti MCA dan MIC, beliau berkata, UMNO tidak boleh menyalahkan parti komponen tersebut atas kekalahan BN dalam mana-mana pilihan raya.

Katanya, kedua-dua parti itu bergantung kepada UMNO yang menjadi tunjang dalam BN, sekiranya UMNO kuat dua parti komponen itu pun akan kuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI