NEW JERSEY – Beraksi buat kali pertama di pentas Copa America langsung tidak menghadirkan gerun buat Kanada biarpun bakal berdepan juara bertahan, Argentina pada aksi separuh akhir di Stadium MetLife pagi esok.
Seballiknya, ketua jurulatih Kanada, Jesse Marsch melaungkan keyakinan tinggi anak-anak buahnya bersedia menumbangkan juara dunia itu meskipun mereka pernah tewas 0-2 ketika bertemu di peringkat kumpulan sebelum ini,.
Bekas pengurus Leeds United itu mendedahkan, setiap pemain perlu menampilkan persembahan paling baik dalam karier mereka jika mahu mencipta sejarah mara ke final kejohanan berprestij tersebut.
“Kami akan berdepan pasukan terbaik di dunia di separuh akhir nanti. Sudah tentu kami teruja kerana kali ini pertemuan berlaku di peringkat kalah mati.
“Jadi kami perlu berikan permainan yang paling baik menentang Argentina. Ia bermakna kami harus tingkatkan lagi prestasi kami kerana apa yang kami pamerkan sekarang belum cukup untuk mengalahkan mereka.
“Namun, kami percaya dengan kemampuan sendiri dan keyakinan dalam pasukan juga meningkat. Tiada yang mustahil untuk kami melakar kemenangan,” kata Marsch.
Kanada berjaya melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Venezuela selepas terikat 1-1 dalam tempoh 90 minit suku akhir sebelum ini.
Bagaimanapun, ia tidak mudah kerana Argentina masih belum tewas dalam 12 perlawanan terakhir Copa America sejak menjuarai edisi 2021 termasuk tiga kemenangan di peringkat Kumpulan A kali ini.
Situasi berbeza dialami Kanada yang memulakan kempen dengan kekalahan 0-2 kepada Argentina sebelum menang tipis 1-0 ke atas Peru dan seri tanpa jaringan dengan Chile.
Jika berjaya mara ke final, ia akan menjadi pencapaian bersejarah dan membanggakan buat Marcsh yang dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan No. 48 dunia itu pada 13 Mei lalu. – AGENSI