fbpx

Euro 2024: Cabaran Sepanyol urus dua ‘senjata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE LA FUENTE

MUNICH – Menjelang aksi separuh akhir Euro 2024 menentang Perancis, pengendali Sepanyol, Luis De La Fuente percaya pasukannya itu mampu mengekalkan prestasi terbaik dan melangkah ke perlawanan akhir.

Keyakinan itu hadir selepas menyaksikan La Roja mencatat kemenangan bersih dalam lima aksi bermula peringkat kumpulan termasuk menewaskan tuan rumah, Jerman di suku akhir sekali gus menyalakan impian mereka mengulangi kejayaan menjulang kejuaraan seperti edisi 2008 dan 2012.

Bagaimanapun, De La Fuente mengakui bimbang dengan peranan dua pemain muda berbakatnya, Nico Williams dan Lamine Yamal menjelang perlawanan getir menentang Les Bleus yang disifatkan mempunyai banyak helah.

“Anda tidak boleh berlari 100 batu sejam dalam perlawanan. Kepantasan dan kekuatan tanpa pengawalan yang baik adalah sia-sia. Anda perlu menguasai kelebihan yang dimiliki itu apabila berada dalam perlawanan.

“Kedua-dua mereka adalah pemain yang cukup luar biasa, namun adakalanya anda perlu sedikit perlahan. Saya beritahu Lamine jika ada tiga pemain mengawalnya, dia perlu bijak melakukan hantaran kerana kami ada kelebihan di ruang yang berbeza.

“Tidak ada guna anda menggelecek pemain lawan itu dan melakukan hantaran laju yang sia-sia. Lamine pemain yang memiliki bakat istimewa, tetapi anda perlu tahu untuk menguruskannya kerana dia masih muda,” kata De La Fuente.

Dalam pada itu, De La Fuente juga meminta semua pihak tidak terlalu memberikan tumpuan kepada Yamal dan Williams sahaja kerana Sepanyol turut memiliki bakal yang luar biasa termasuk Ferran Torres dan Dani Olmo.

“Pasukan ini bukan hanya memiliki Lamine dan Nico sahaja, kami ada Ferran, Ayoze (Perez), Olmo, Mikel (Oyarzabal) yang turut membantu Sepanyol berada pada tahap terbaik,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa ekoran terlepas peluang menggunakan khidmat seorang lagi pemain muda berbakat, Pedri yang mengalami kecederaan lutut ketika aksi menentang Jerman sebelum ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI