PETALING JAYA – Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan sewaktu mesyuarat Kabinet yang akan berlangsung pada Jumaat ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi hantaran Facebook berkata, ia bagi mencari penyelesaian terbaik, meliputi aspek perundangan dan penguatkuasaan.
Malah, beliau turut memuat naik beberapa gambar melawat keluarga mendiang Rajeswary Appahu, 29, yang meninggal dunia dipercayai tertekan akibat dibuli.
“Luluh hati seorang ibu melihat jasad anaknya tak bernyawa. Rajeswary telah mengambil nyawanya sendiri selepas dipercayai tertekan akibat dibuli beberapa individu dengan komen-komen jelik di TikTok.
“Saya amat kecewa dan marah dengan apa yang berlaku. Mereka yang menjadi punca kejadian ini perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya pada hantaran itu malam tadi.
Fahmi berkata, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kelmarin.
“Saya turut bercakap dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Kami mempunyai pendirian sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.