PETALING JAYA – Talasemia (thalassemia) bukan penyakit saka, bahkan dakwaan karut kononnya daripada individu yang mendakwa dirinya pengamal perubatan Islam boleh menyebabkan orang memandang serong dan rendah kepada agama Islam.
Pakar Perutan Keluarga Medical Mythbusters Malaysia, Dr. Amirul Amzar menegaskan, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai dakwaan talasemia penyakit saka dibuat pihak tidak bertanggungjawab atas kepentingan mereka.
“Berhenti percaya orang macam ni. Orang macam ini lah yang merosakkan nama Islam dan buat orang tak percaya pada Islam. Bukan saya nak suruh jangan percaya perubatan Islam.
“Benar… sihir, jin, perkara ghaib memang wujud. Tapi penipu, pembohong dan tukang karut berkepentingan tanpa tanggungjawab juga wujud. Jangan biar diri anda jadi mangsa ‘perawat Islam’ yang jelas menipu sebegini,” tegasnya pada hantaran Facebook
Dr. Amirul Amzar berkata, rawatan Islam tidak boleh menukar gen talasemia dan beliau turut mencabar mereka yang mengatakan penyakit itu berkait masalah saka.
“Bawa pesakit dia yang dah sembuh, tunjuk ujian ‘Hb electrophoresis’ sebelum dan selepas rawatan dia. Saya jamin, dia akan elak dengan pelbagai alasan,” katanya.
Sementara itu, beliau menjelaskan talasemia adalah penyakit sel darah merah dengan asal perkataannya daripada ‘thalassa’ yang bermaksud laut.
“Sebab ia mula dijumpai dalam kalangan orang yang duduk dekat Lautan Mediterranean. Orang yang ada masalah talasemia mempunya kerosakan pada gen yang mengekod penghasilan protein yang membentuk hemoglobin.
“Senang cerita, hemoglobin mereka tak macam orang lain. Akibatnya sel darah merah mereka yang mengandungi hemoglobin rosak tidak mampu hidup lama seperti hemoglobin orang tanpa talasemia.
“Kalau teruk penyakitnya, tiap-tiap bulan kena masuk darah ganti sel darah merah yang kurang. Ini kita panggil ‘thalassemia major’. Ada juga yang membawa gen tersebut, tapi tak ada kekurangan apa-apa. Ini kita panggil ‘thalassemia trait’,” katanya.
Beliau juga mengakui mempunyai ‘thalassemia trait’ selepas disahkan melalui ujian makmal serta bersyukur apabila bacaan Hb beliau ialah 15-16.
“Buat masa ini tak ada rawatan yang berkesan untuk sembuhkan pesakit talasemia. Penyakit ini juga lebih banyak dalam kalangan orang Asia Tenggara. Jadi kami doktor selalu buat ujian untuk sahkan penyakit ini.
“Antara ujian saringan adalah ‘full blood count’ (kiraan darah penuh), kemudian ‘Hb electrophoresis’ dan kalau perlu, kita buat analisis gen. Selepas disahkan, baru kita akan label sebagai pesakit talasemia,” ujarya.
Dr. Amirul Amzar berkata, lebih penting adalah pihak perubatan akan memberi nasihat kepada pasangan pesakit talasemia bagi melakukan ujian memandangan penyakit tersebut diwarisi.
“Ada kemungkinan kalau kedua-dua ibu bapa ada membawa gen talasemia, anak boleh menghidap ‘thalassemia major’ atau gugur dalam kandungan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.