fbpx

Akta PSMB benar HRD Corp buat pelaburan ikut undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PUTRAJAYA- Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan Human Resource Development Corporation (HRD Corp.) untuk membuat pelaburan mengikut prosedur dan tatakelola yang termaktub dalam undang-undang.

Fakta itu sekali gus menyanggah dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang sebelum ini mengatakan HRD Corp. telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan, sedangkan ia bukan sebuah institusi pelaburan.

Peguam, Amrit Pal Singh berkata, Akta PSMB 2001 adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp.

“Seksyen 26 dalam akta tesebut memberikan kuasa menubuhkan panel pelaburan oleh menteri terbabit dan hendaklah terdiri daripada pengerusi lembaga, dua orang anggota yang dilantik oleh lembaga daripada kalangan anggotanya selain ketua eksekutif.

“Ia termasuk wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia dan dua orang lain yang mempunyai pengalaman perniagaan dan kewangan yang dilantik oleh menteri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, Seksyen 27 dalam akta yang sama turut memberikan kuasa melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa.

“Sudah terang lagi bersuluh, HRD Corp. tidak melakukan apa-apa kesalahan daripada segi undang-undang untuk membuat pelaburan atau menerusi moral juga kerana pelaburan yang dibuat telah menjana keuntungan yang besar,” katanya.

Baru-baru ini, HRD Corp. mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023 dengan jumlah tersebut melibatkan 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp. yang bernilai RM3.6 bilion.

Mengulas lanjut, Amrit Pal Singh menambah, pihaknya menasihati semua pihak terutama Ahli Parlimen atau mana-mana jawatankuasa agar memahami sistem perundangan di negara ini sebelum membuat sebarang teguran.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp. untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.

Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac lalu seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kesuma. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI