fbpx

Tahan sakit enam jam, kaki tersepit batu sungai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit pada batu di sebuah sungai di Kampung Kuala Balah, Jeli semalam. FOTO IHSAN BOMBA

JELI – Seorang lelaki terpaksa menahan kesakitan hampir enam jam selepas kaki kirinya tersepit pada batu sungai ketika sedang menangkap ikan di sebuah sungai di Kampung Kuala Balah di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, bahagian lutut hingga ke tapak kaki mangsa, Mohd. Hulul Izmi Mohd. Kamil, 31, tersepit selepas batu sungai itu secara tiba-tiba berubah kedudukan.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada rakan mangsa kira-kira pukul 2.11 petang yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

Menurutnya, rakan mangsa terpaksa keluar dari kawasan sungai itu yang mengambil masa lebih satu jam untuk menghubungi talian kecemasan kerana lokasi tersebut tiada liputan rangkaian telefon.

“Seramai 10 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 80 kilometer dari balai bomba Jeli dan tiba kira-kira pukul 4.40 petang.

“Operasi mengeluarkan kaki Mohd. Hulul Izmi yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat bomba,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Mohd. Adni memberitahu, siasatan mendapati, mangsa pergi ke kawasan sungai itu untuk menangkap ikan bersama beberapa rakannya dengan menunggang motosikal.

Menurut, semasa lelaki itu sedang melalui kawasan berbatu, sebuah batu besar dipercayai beralih kedudukan dan bergerak menghimpit kaki mangsa.

“Kaki mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 6 petang selepas lebih satu jam operasi menyelamat dijalankan.

“Ekoran jarak yang jauh, mangsa tiba di Klinik Kesihatan Kuala Balah di sini dengan trak pikap polis untuk rawatan lanjut pada pukul 8.30 malam,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI