PETALING JAYA – Tiada angin tiada ribu, pelakon Sean Lee membuat kejutan sudah mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya yang juga model, Bay Doucet.
Perkara tersebut dikongsikan Sean atau Sean Lee Jia Ern, 30, menerusi Instagramnya dengan meninggalkan beberapa keping foto menunjukkan dia dan pasangan memakai sut dan gaun pengantin berwarna putih.
Tanpa perincian lanjut, pelantun lagu Tak Sanggup Terima itu hanya meninggalkan kapsyen pendek: “Too cute to gatekeep (terlalu comel untuk disimpan).”
Lebih menguatkan dakwaan perkahwinan mereka apabila Sean turut meninggalkan gambar rawak yang memperlihat tarikh 7 Julai 2024 bersama tulisan just married (baru berkahwin).
Berdasarkan pemerhatian Kosmo! Online, Sean juga memuat naik hantaran seolah-olah gambar praperkahwinan sejam sebelum berkongsi tentang majlis tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada pengantin, antaranya Hun Haqeem, Aiman Hakim Ridza, Nora Danish dan Scha Alyahya. – KOSMO! ONLINE