PETALING JAYA- Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar akan dilaksanakan selama 14 hari bermula esok hingga 6 Januari depan.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diputuskan selepas mendengar nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung peningkatan kes Covid-19 di pusat itu.
“Sidang khas hari ini mendengar pembentangan daripada KKM mengenai situasi peningkatan kes positif Covid-19 di PPA Muar yang kini dijadikan sebagai Pusat Transit Penerimaan Banduan sejak November 2020.
“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif Covid-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan,” katanya dalam satu kenyataan tadi.
Katanya, penilaian risiko oleh KKM turut mendapati risiko dan kadar kebolehjangkitan dalam kalangan Orang Kena Tuduh adalah tinggi.
“Pelaksanaan PKPD itu bagi memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif melibatkan seramai 773 tahanan dan 127 kakitangan,” jelasnya. -K! ONLINE