KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju mengekalkan purata tarif asas Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada kadar 39.45 sen per kilowatt jam (kWh) bagi tahun 2021.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kerajaan juga bersetuju memberi rebat sebanyak 2 sen/kWj kepada semua pemilik akaun TNB bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2021.
“Rebat yang pertama kali dinikmati sejak Julai tahun 2018 ini akan dinikmati oleh semua pengguna elektrik TNB, domestik dan bukan domestik.
“Langkah ini diambil berikutan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh regulatori kedua TNB di bawah mekanisme ‘Incentive Based Regulation’ (IBR) sehingga 31 Disember 2021,” katanya pada satu sidang akhbar di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata, kerajaan juga bersetuju untuk melepaskan penjimatan kos bahan api kepada semua pengguna TNB.
Menurut beliau, ia berikutan penurunan harga bahan api arang batu dan gas pada separuh tahun kedua 2020 selaras dengan pelaksanaan mekanisme ‘Imbalance Cost Pass Through’ (ICPT) bagi tempoh 1 Januari sehingga 30 Jun 2021.
Jelas beliau, dengan pemberian rebat sebanyak 2 sen/kWj itu, seramai 7.5 juta pengguna domestik akan mengalami penurunan bil elektrik antara 3.6 hingga 9.2 peratus.
“Pengguna komersial pula akan mengalami penurunan bil elektrik antara empat hingga 5.2 peratus, manakala bil elektrik bagi pengguna industri pula akan menurun antara 4.6 hingga 6.1 peratus.
“Kerajaan berharap pemberian rebat ini dapat meringankan kos sara hidup rakyat serta menurunkan kos menjalankan perniagaan yang terkesan berikutan penularan pandemik Covid-19,” katanya. – K! ONLINE