fbpx

USIM perkenal komputer riba eBrelle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sharifudin (kiri) menyampaikan komputer riba eBrelle kepada Mohammad Fuad sambil disaksikan oleh Wan Azizah di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur.

UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (Ummi) tampil memperkenalkan komputer riba eBrelle khas bagi individu dalam kategori masalah penglihatan.

Menurut Penyelaras (Penyelidikan Inklusif) Ummi, Dr. Mohd. Nur Adzam Rasdi, inovasi inklusif eBrelle (Laptop for the Blind) merupakan peranti elektronik yang berfungsi sebagai komputer riba untuk digunakan oleh golongan istimewa itu.

“Produk ini telah direka cipta oleh syarikat eDote Sdn.Bhd. yang diketuai oleh Ts. Dr. Shaharil Mad Saad.

“Alat elektronik ini mampu menulis dan mencatat teks dalam tulisan Braille serta mentranskripsi fail-fail digital dalam format PDF, Word dan Powerpoint.

“Ummi juga telah membangunkan kandungan bahan bacaan Islamik versi Braille bagi produk ini,” katanya.

Tambah Nur Adzam, permintaan komuniti orang kelainan upaya (OKU) terhadap bahan bacaan Islamik telah mengukuhkan lagi kolaborasi strategik antara USIM dan syarikat terlibat.

Ia termasuklah menawarkan peranti yang boleh memanfaatkan bahan bacaan Islamik seperti kandungan Quran Braille baharu yang memenuhi standard Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Quran, Kementerian Dalam Negeri Malaysia.

Terdahulu, USIM telah menyerahkan komputer eBrelle kepada pihak Pusat Sains Negara melalui Program Hari Istimewa Sains yang telah berlangsung baru-baru ini.

Komputer riba eBrelle dibuat khas untuk golongan OKU penglihatan.

Produk tersebut telah diserahkan Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Ts. Dr. Sharifudin Md. Shaarani kepada Pengarah Pusat Sains Negara, Mohammad Fuad Rahman dengan disaksikan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail.

Turut hadir ialah Pendaftar USIM, Datuk Muhammad Haizuan Rozali serta Pengarah Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum, Prof Madya Dr. Norakyairee Mohd. Raus.

Menerusi penyerahan eBrelle tersebut, Sharifudin berharap agar lebih banyak inovasi dapat dihasilkan untuk memberi peluang kepada komuniti OKU menikmati pendidikan yang sama seperti masyarakat normal lain.

”Produk ini merupakan produk kedua yang diserahkan kepada Pusat Sains Negara selepas 3D Figura Celik Solat.

“Semoga inovasi ini mampu membantu komuniti yang berkeperluan khas untuk mempelajari ilmu agama dan dakwah dengan lebih inklusif,” ujarnya.

Produk eBrelle turut dilengkapi dengan kemudahan Bluetooth dan Wi-Fi serta mempunyai ruang penyimpanan maklumat sendiri bersaiz 32GB.

Ia dijangka dipasarkan dalam masa terdekat bagi membantu komuniti OKU penglihatan memperolehi akses kepada sumber ilmu.

Ummi turut terlibat dalam Hari Istimewa Sains 2024 dengan pembukaan ruangan pameran dan aktiviti seperti kuiz Quran isyarat, celik solat OKU penglihatan dan teka silang kata Braille.

Pada program itu, pengunjung boleh mendapatkan informasi berkaitan pendidikan dan keperluan OKU selain melawat reruai dan gerai jualan yang disediakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI