fbpx

[VIDEO] Minta maaf, menyesal mahu pulang Indonesia segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
35 PATI Indonesia didakwa di Mahkamah Klang hari ini atas tuduhan tinggal lebih masa dan memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen sah. - Foto oleh ZULFADHLI ZAKI

KLANG – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menyesal dan mahu pulang segera ke negara mereka selepas mengaku bersalah di dua Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memasuki Malaysia tanpa dokumen dan tinggal lebih masa, dua minggu lalu.

Mereka terdiri daripada 26 lelaki dan sembilan wanita berusia 20 hingga 50 tahun membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nik Nur Amalina Mat Zaidan dan Majistret Muhammad ‘Azzam Zainal Abidin.

Kedua-dua majistret menjatuhi hukuman penjara sebulan hingga tiga bulan kepada PATI tersebut sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk proses seterusnya.

“Menyesal, minta maaf dan mahu pulang segera ke kampung bagi bertemu keluarga,” kata PATI tersebut dalam rayuan mereka.

Mengikut pertuduhan, 22 PATI dituduh dibawah Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (4) akta sama kerana tinggal lebih masa yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, sekiranya disabitkan kesalahan.

Sementara, 13 lagi PATI didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6 (3) akta sama yang sekiranya disabitkan kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun, denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali serta tidak lebih enam sebatan.

Perbuatan itu dilakukan mereka di sebuah hotel bajet di bandar daerah ini pukul 12.30 tengah malam pada 12 Disember lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Evangelin Simon Silvaraj dan Ahmad Faiz Abd. Raoff manakala semua PATI itu tidak diwakili peguam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan taktik sindiket penyeludupan warga asing menjadikan sebuah hotel bajet sebagai transit terbongkar dalam serbuan di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Dalam serbuan pukul 12.30 tengah malam pada Sabtu lalu membawa penahanan 40 individu termasuk dua tekong darat warga tempatan berusia setahun hingga 50-an.

Turut diberkas adalah ketua sindiket tersebut yang merupakan warga Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan diri. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI