LAS VEGAS – Uruguay membuktikan status sebagai salah satu pencabar utama kejuaraan Copa America kali ini apabila berjaya menyingkirkan finalis edisi lalu, Brazil menerusi kemenangan 4-2 penentuan sepakan penalti selepas seri 0-0 di suku akhir di Stadium Allegiant semalam.
Kemenangan itu amat berharga buat La Celeste yang terpaksa bermain dengan 10 orang apabila pemain tengahnya, Nahitan Nandez diarahkan keluar padang selepas mengutip kad merah pada minit ke-73.
Ia gara-gara terjahan kerasnya terhadap pemain sayap Brazil, Rodrygo yang menyebabkan pengadil terpaksa menyemak insiden berkenaan menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR) dan menyukarkan peluang Uruguay dalam baki perlawanan itu.
Bagaimanapun, penjaga gol Uruguay, Sergio Rochet bertindak cemerlang apabila berjaya menyelamatkan pengambil sepakan penalti pertama Brazil, Eder Militao sekali gus memberi kelebihan buat mereka.
Kegagalan seorang lagi pemain Brazil, Douglas Luiz menyempurnakan sepakan penaltinya membolehkan Manuel Ugarte mengesahkan kejayaan buat Uruguay untuk mara ke separuh akhir menentang Colombia pada Khamis ini.
Pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa tetap menuntut prestasi yang jauh lebih bagus dan tidak mahu anak-anak buahnya berpuas hati dengan kejayaan itu jika mereka mahu menjuarai Copa America kali ini.
“Kami tidak boleh pandang rendah kekuatan setiap pasukan kerana cabaran lebih sukar menanti kami. Jadi kami tidak boleh leka dan terus meningkatkan keupayaan pasukan selagi kami masih berjuang dalam kejohanan,” jelasnya.
Sebagai rekod, ini adalah pencapaian terbaik Uruguay dalam tempoh 13 tahun di pentas Copa America sejak menjuarai edisi 2011 yang mana mereka sebelum ini gagal melepasi peringkat suku akhir dan pernah terkandas awal dalam saingan kumpulan. – AGENSI