fbpx

Nad Zainal nafi dikongkong Ungku Ismail sejak kahwin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nad menafikan dikongkong suami tersayang, Ungku Ismail – MUHAMAD IQBAL ROSLI

PUTRAJAYA – Pelakon Nad Zainal menafikan dirinya dikongkong suami, Ungku Ismail Aziz sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 34, berkata, situasi sebenar tidak seperti disangkakan, sebaliknya lelaki itu banyak memberikan bimbingan dalam menentukan hala tuju hidup.

“Tiadalah mengongkong. Kalau kongkong kita akan rasa tertekan dan terbeban, tetapi ini biasa sahaja normal macam pasangan suami isteri lain.

“Kalau pasal watak memang kena jaga. Walaupun bertudung, saya buktikan masih boleh bawa banyak watak, macam peranan orang gila tetapi tetap pastikan aurat terpelihara.

“Itu antara peringatan suami. Bagi saya, dia sekadar mengingatkan diri ini mengenai hal yang sepatutnya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon drama Bukan Bidadari itu berkata, dia selesa dengan cara sebegitu kerana menganggap Ungku Ismail, 38, mampu membentuk dirinya menjadi wanita yang lebih bertanggungjawab.

“Saya juga suka kalau ada orang yang melentur saya. Tak bermakna kalau sudah berkahwin tak boleh berlakon.

“Banyak perubahan berlaku, saya semakin tenang berbanding dahulu. Saya perlukan orang yang faham situasi saya sebagai ibu dan pelakon. Dia (suami) adalah individu yang memahami kerana dia juga seorang pelakon.

“Jadi mudah untuk kami mencorak kehidupan. Sebelum ini pun semua benda saya nak buat, tergesa-gesa hingga akhirnya saya jadi seorang yang pemarah akibat stres.

“Tetapi sejak ada suami, dia banyak ajari saya perkara yang saya tak sedar,” katanya ketika ditemui di Bazar Hujung Minggu kelolaan Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, hari ini.

Pada acara yang disertai lebih 50 peniaga, pasangan terbabit mempromosikan tudung aktres itu dengan motif rekaan sentuhan suaminya sendiri.

Nad berkata, dia dan Ungku Ismail aktif mengukuhkan jenama Nadi Kesuma sejak setahun lalu dengan menyertai pelbagai karnival jualan sehingga ke Brunei dan Singapura.

“Sebenarnya, suami saya ini memang suka berniaga dan pada masa sama, dia memanfaatkan kelebihan serta ilmu dalam beberapa bidang termasuk dalam aspek pengurusan kewangan keluarga.

“Ungku Ismail juga boleh membina aplikasi permainan maya, mencipta laman sesawang berbentuk pendidikan yang dinamakan Pintar Congak.

“Program ini asalnya dicipta untuk memudahkan anak kami lebih cepat memahami subjek matematik.

“Setelah mendapat banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak, kini kami membuka program tersebut kepada umum,” katanya lagi.

Pasangan terbabit mempunyai seorang cahaya mata, Ungku Indra Puteh Al Majid yang kini berusia sembilan bulan.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Nad dikurniakan dua anak iaitu Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI