BANGKOK – Seorang lelaki ditembak mati, dipercayai oleh anggota polis dalam satu pergaduhan melibatkan isteri pegawai pihak berkuasa itu, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Thanawat, 27, ditembak mati di belakang sebuah pasar di Ranong, Thailand kelmarin.
Penyerang dilaporkan melarikan diri dari tempat kejadian dengan menaiki sebuah kereta sedan berwarna putih.
Siasatan awal mendapati, mangsa bekerja di sebuah syarikat penghantaran bungkusan swasta, tidak jauh dari tempat kejadian.
Polis mengesyaki suspek merupakan seorang anggota polis berpangkat Koperal.
Pergaduhan antara mereka berdua dipercayai melibatkan isteri suspek, yang turut bekerja di syarikat sama dengan mangsa.
Pasukan penyiasat kini sedang mengesan suspek yang melepaskan tembakan. – AGENSI