WASHINGTON – Sejenis cecair berwarna hijau pucuk pisang mengalir turun dari siling dan membasahi lantai Lapangan Terbang Antarabangsa Miami, Florida, sehingga mengganggu penerbangan Khamis lalu, lapor akhbar Metro UK semalam.
Cecair itu pada mulanya menutupi jubin di sekitar kawasan tempat duduk terminal pada waktu pagi dan menyebabkan beberapa bahagian dikepung menggunakan pita keselamatan.
“Ini benar-benar gila,” kata seseorang dalam video yang dikongsikan di platform X.
Seorang lagi individu kemudian didengari berkata: “Lihatlah di lapangan terbang ini. Apakah yang sedang berlaku?”
Menurut Pengarah Komunikasi Jabatan Penerbangan Miami-Dade, Greg Chin, cecair yang muncul sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) itu berpunca daripada sistem penyaman udara dengan pewarna hijau diletakkan di dalamnya, bagi memudahkan punca kebocoran dapat dikesan.
Cecair hijau itu telah dibersihkan pada pukul 10.30 pagi (waktu tempatan). – AGENSI