fbpx

Olimpik Paris: Azeem harap Shereen tidak kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZEEM (tengah) berharap Shereen (kanan) tidak begitu kecewa dan percaya 'ratu 400m' itu akan meraih peluang pada masa depan.

PELARI pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi percaya rakan sepasukan, Shereen Samson Vallabouy akan turut menjejakkan kaki untuk beraksi di temasya Sukan Olimpik pada masa hadapan.

Atlet berusia 20 tahun itu turut berharap Shereen tidak terlalu kecewa selepas dia terlepas tiket wildcard untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirainya bermula 26 Julai ini.

Azeem menyuarakan keyakinan bahawa atlet 400m wanita negara itu memiliki masa depan cukup cerah selain memiliki potensi cukup besar untuk menjadi salah seorang pelari pecut terbaik di Malaysia.

“Bagi saya, dia (Shereen) sudah menjalankan tugas yang cukup baik setakat ini dan atas sebab itu saya tidak jangka untuk mendapat tiket wildcard ke Olimpik. Aksinya sangat baik selain berjaya memecahkan rekod kebangsaan.

“Mungkin ini (wildcard) adalah apa yang telah ditentukan. Untuk Shereen, saya harap perkara ini tidak akan menyebabkan dia kecewa selain yakin dia mampu jadi lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) membuat keputusan untuk memberikan tiket wildcard ke Olimpik Paris kepada Azeem, sekali gus menutup ruang buat Shereen beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu.

Azeem yang juga pemegang rekod 100m kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) percaya Shereen akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada masa hadapan meskipun usianya sekarang sudah mencecah 26 tahun.

“Ramai tidak percaya bahawa dia sudah berusia 26 tahun, namun saya yakin dia akan turut beraksi di Olimpik. Sudah tentu saya mahu lihat perkembangan Shereen selepas ini,” ujar penuntut Universiti Auburn, Alabama, Amerika Syarikat (AS) itu. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI