BALING – Seorang peniaga nasi lemak maut apabila motosikal yang dia tunggang terbabas ketika mahu mengelak penutup lubang jalan di Jalan Sungai Petani-Baling di Kuala Ketil, di sini pada pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Siti Meriam Nordin, 40, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Sym dan sebuah kereta jenis Proton Persona.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal yang ditunggang mangsa datang dari arah rumahnya di Tanjung Puteri, Kuala Ketil menghala ke Taman Desa Bidara, Kuala Ketil untuk berniaga.
“Sementara kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun datang dari arah yang sama iaitu dari arah Sungai Petani menghala ke Baling,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa yang sedang bergerak lurus di lorong kiri jalan telah terbabas kerana mengelak halangan yang berada di sebelah kiri laluannya iaitu penutup lubang jalan.
“Mangsa bersama motosikal kemudian terjatuh di tengah jalan arah ke Baling sebelum digilis kereta berkenaan yang bergerak di belakang.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” ujarnya.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE