fbpx

Jangan bergaduh pilih calon pilihan raya – Johari Ghani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di Hotel Perdana Taiping. - Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

TAIPING – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berharap peringkat akar umbi partinya tidak bergaduh berebut menjadi calon-calon pilihan raya bagi mengelakkan UMNO terus mengalami kekalahan.

Beliau mendapati masih berlaku perbalahan dalam soal tersebut meskipun pencapaian UMNO dalam pilihan raya telah merosot.

“Jangan Bergaduh. Bila bergaduh, maka akhirnya akan pergi ke Pusat untuk buat keputusan (menentukan calon). Bila Pusat buat keputusan, kemungkinan besar tersilap pilih.

“Kalau kita di bawah ini bergasak, macam mana masyarakat hendak menyokong kita. Kita nampak makin lama perebutan itu berlaku walaupun UMNO telah kalah,” katanya kepada pemberita semasa hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Gantang di sini hari ini.

Malah katanya, keadaan itu turut menyebabkan situasi UMNO seakan takut untuk mengumumkan calon lebih awal dan atas kelewatan itu menyebabkan calon yang dipilih gagal menyaingi lawan.

Baginya, setiap Bahagian UMNO perlu mengenal pasti mereka yang layak terutama golongan muda untuk diangkat sebagai pemimpin serta calon pilihan raya yang berkaliber, mengetahui isu semasa serta rajin berjumpa masyarakat.

Semasa berucap, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa mengingatkan lebih 500 perwakilan yang hadir tentang kepentingan Bahagian itu sendiri memilih calon berbanding menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti untuk membuat keputusan.

Parlimen Bukit Gantang menjadi perhatian kerana kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Kecil (PRK) disebabkan status Ahli Parlimennya, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal berikutan sokongannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI