fbpx

PRK Sungai Bakap: Keadaan seimbang, ada saluran pengundi muda lebih ramai – SPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramlan (tengah) hadir meninjau ke pusat pengundian di SK Sungai Duri, hari ini. - Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Pola pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap dilaporkan seimbang membabitkan kehadiran pengundi muda dan warga emas, setakat pukul 11 pagi tadi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, sebanyak 24 peratus pengundi di DUN Sungai Bakap sudahpun keluar menunaikan tanggungjawab di sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran sejak pukul 8 pagi tadi.

Menurutnya, proses pengundian hari ini berjalan lancar dan harmoni namun jumlah pengundiannya agak rendah berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lepas.

“Keadaan agak seimbang. Ada beberapa saluran kita tengok orang muda lebih ramai daripada warga emas. Alhamdulillah…ramai orang muda keluar awal pada kali ini.

“Kita mengharapkan supaya semua pengundi turun secepat mungkin dan menaikkan peratusan jumlah pengundiannya.

“Sebab kita tak boleh jangka apa yang berlaku pada petang nanti, mungkin cuaca tak elok atau sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Duri, hari ini.

Dalam pada itu, katanya lagi, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berkaitan kesalahan yang serius sepanjang PRK DUN Sungai Bakap berlangsung.

“Cuma ada sikit kesalahan kecil yang telah diambil tindakan oleh pihak berkaitan. Tiada kesalahan besar atau laporan serius kita terima setakat ini,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan jumlah peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Sungai Bakap hari ini dijangka menurun tidak lebih daripada 70 peratus.

Pada PRK DUN Sungai Bakap, seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) baharu kawasan itu, hari ini.

Kesemua sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang ini.

Lokasi pusat pengundian adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Proses pengiraan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dekat Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, yang sebelum ini menjadi lokasi penamaan calon, 22 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI