LONDON – Kabinet baharu Perdana Menteri Britain, Sir Keir Starmer yang mengandungi 25 orang anggota, bermesyuarat buat kali pertama pada pagi ini, lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC).
Ia merupakan hari pertama Buruh berkuasa selepas parti pimpinan Starmer itu memenangi pilihan raya umum pada Khamis lalu dengan kemenangan besar. Ia sekali gus menewaskan Parti Konservatif pimpinan perdana menteri terdahulu, Rishi Sunak.
Dalam anggota Kabinet itu, Rachel Reeves dilantik menjadi Canselor wanita pertama Britain.
Timbalan Perdana Menteri, Angela Rayner juga antara 11 wanita dalam Kabinet tersebut.
Keir melantik Kabinetnya semalam selepas kemenangan besar Parti Buruh dan memberikan ucapan pertamanya sebagai Perdana Menteri dengan berkata, perubahan akan bermula serta-merta.
Dalam barisan Kabinet itu, David Lammy dilantik menjadi Setiausaha Luar.
Yvette Cooper yang merupakan salah seorang daripada tiga ahli Kabinet Buruh terakhir di bawah pimpinan Gordon Brown sebagai perdana menteri sebelum ini, menjadi Setiausaha Dalam Negeri.
Rayner yang menjadi timbalan Keir turut akan mengetuai Jabatan Peningkatan Tahap, Perumahan dan Komuniti. – AGENSI