fbpx

[VIDEO] Bayar RM100 dapat servis satu jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara wanita warga asing yang ditahan dalam serbuan JIM ekoran disyaki menawarkan khidmat pelacuran baru-baru ini. - Foto JIM

PUTRAJAYA- Sebuah sindiket yang menggunakan modus operandi dengan menawarkan khidmat urutan badan dan pelacuran pada kadar RM100 hingga RM400 oleh wanita warga asing tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen pada 4 Julai lalu.

Menerusi Operasi Khas itu, serbuan telah dilakukan di lapan lokasi berasingan iaitu dua lokasi di Jalan Tun Razak dan enam lokasi lain melibatkan Jalan Pudu di Kuala Lumpur, Kampung Baru Subang di Shah Alam, Pusat Bandar Puchong selain Taman Andalas Jaya, Taman Bayu dan Klang Central di Klang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan selama dua minggu, pasukan operasi berjaya menahan 75 individu termasuk 32 wanita Indonesia, Bangladesh (11), Vietnam (lapan) dan enam India.

Katanya, turut ditahan tujuh lelaki Bangladesh, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 17 hingga 46 tahun.

“Turut ditahan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 65 tahun.

“Hasil semakan awal mendapati, 13 wanita Indonesia dan empat Vietnam yang ditahan memiliki pas yang masih sah laku sementara dua lagi wanita Indonesia dan seorang dari Vietnam telah tinggal lebih masa.

“Mereka yang lain dilaporkan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, modus operandi sindiket ialah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan pelacuran di mana pelanggan akan hadir sendiri ke premis dan memilih berdasarkan katalog diberikan.

“Selain itu, pelanggan juga boleh memilih wanita asing dengan menggunakan foto-foto mereka melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp.

“Bayaran secara tunai akan diberikan kepada penjaga premis semasa pelanggan mula untuk memasuki bilik dengan bayaran dikenakan sekitar RM100 hingga RM400 sejam,” jelasnya.

Kesemua warga asing yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Paspot 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen
1963.

Tujuh lelaki dan seorang perempuan tempatan pula yang dipercayai bekerja sebagai penjaga premis pula ditahan di bawah Sek.56(1)(d) dan Sek.55E Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI