fbpx

Tengok drama Nasfu lakonan Aqasha, memang berbaloi!

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nafsu melakonkan watak sebagai ketua ajaran sesat bernama Gusti dengan cemerlang dalam Nafsu terbitan Viu.

ELEMEN seram suspens sering menjadi pilihan utama dalam menghasilkan sesebuah naskhah.

Genre sebegitu bukan sahaja mampu membuatkan adrenalin penonton bergerak kencang, tetapi turut diselitkan dengan pengajaran agar dapat menjadi pedoman buat masyarakat.

Begitu juga dengan drama rantaian baharu, Nafsu yang pastinya membuatkan penonton tidak sabar untuk menyaksikan kesudahan kisah sekumpulan pengikut ajaran sesat diketuai oleh Gusti lakonan Aqasha.

Nafsu menyingkap kisah di sebalik kawasan setinggan dan lorong gelap Kuala Lumpur dan perjalanan kehidupan seorang lelaki bernama Sam (Kamal Adli) yang mempunyai kelebihan melihat makhluk ghaib.

Kemampuan melihat ‘alam sebalik mata’ itu juga telah membuatkan Sam terlibat dengan misteri kehilangan Alia iaitu adik kepada bekas kekasihnya, Dina.

Apa yang mereka tidak ketahui ialah kehilangan Alia itu hanya satu permulaan kepada ancaman besar melibatkan kumpulan ajaran sesat yang dianggotai oleh kelompok elit.

Kelebihan yang dimiliki Sam itu juga telah membawa kepada pertemuan dengan Gusti sekali gus membuatkan kedua-duanya saling bersaing dengan menggunakan kuasa spiritual masing-masing.

Sensitiviti

Bercakap tentang plot cerita, selaku pengarah Sein Qudsi mengakui olahan skrip dibuat dengan teliti agar tidak menyentuh sensitiviti masyarakat dan agama.

Menggabungkan amalan semangat kuasa ghaib (supernatural) dengan ajaran sesat, banyak perkara yang perlu diambil kira agar tidak mencetuskan kontroversi.

“Sewaktu penghasilan skrip cerita ini, kami perlu memastikan jalan cerita dan watak tidak bercanggah dengan agama dan budaya masyarakat.

“Perkara itu turut melibatkan adegan kuasa misteri dan alam ghaib. Pasukan kami berusaha sebaik mungkin untuk memastikan drama ini tidak mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan penonton biarpun ditayangkan di platform penstriman,” katanya.

Tidak hanya itu, Sein turut menggubah lagu tema Nafsu berjudul Kala Tiba yang dinyanyikan penyanyi terkenal, Marsha Milan.

Sementara itu, pelakon Khayrisyah Kemal yang membawakan watak sebagai Alia berdepan cabaran tersendiri menghidupkan karakter tersebut.

Katanya, watak Alia memerlukan dia untuk belajar bermain dengan emosi di samping mengalami masalah tekanan perasaan.

“Agak mencabar bagi saya terutama untuk mempamerkan emosi dan persoalan yang bermain di fikiran Alia. Pada saya, itu mencabar kerana saya perlu menonjolkan perkara yang penonton tidak boleh nampak.

“Saya kena juga pastikan penyampaian watak itu berjaya agar penonton juga dapat merasai apa yang dirasakan Alia sebab banyak menggunakan reaksi wajah.

“Saya sudah berikan yang terbaik dan harap penonton dapat menerima lakonan,” ujarnya.

Ditayangkan sebanyak lapan episod, naskhah tersebut dapat ditonton menerusi penstriman Viu bermula 27 Jun lalu.

Drama terbitan Infinitus Productions berkenaan turut membariskan Azira Shafinaz, Nia Atasha, Fahrin Ahmad, Ellie Suriaty, Vanidah Imran, Zaidi Omar dan Yusuf Bahrin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI