HAMBURG – Perancis mara ke pentas separuh akhir Euro 2024 selepas mengatasi juara edisi 2016, Portugal menerusi penentuan penalti 5-3 selepas perlawanan suku akhir itu terikat seri tanpa jaringan di Volksparkstadion, sebentar tadi.
Pada saingan tersebut, kedua-dua pasukan bergelut untuk mencipta jaringan sepanjang 120 minit perlawanan biarpun masing-masing dilihat saling mencipta peluang.
Portugal mempunyai dua peluang pada separuh masa kedua menerusi bintang utamanya, Bruno Fernandes dan Vitinha tetapi penjaga gol Perancis, Mike Maignan tampil cemerlang melakukan penyelamatan yang baik.
Portugal yang menduduki ranking ke-4 dunia terus bekerja keras dalam usaha merobek gawang lawan tetapi jentera serangan yang diketuai Cristiano Ronaldo masih gagal untuk memastikan pasukannya itu pulang dengan kemenangan.
Perlawanan akhirnya terpaksa ditentukan menerusi penentuan penalti dengan Portugal terpaksa melupakan hasrat mereka untuk ke separuh akhir selepas rembatan Joao Felix terkena tiang gol biarpun Ronaldo dan Bernardo Silva tenang menjaringkan dua gol awal.
Situasi itu dimanfaatkan Perancis dan Theo Hernandez meledak gol penalti kemenangan buat skuad Les Bleus untuk melangkah ke pentas separuh akhir.
Hasil keputusan tersebut, Perancis akan menentang Sepanyol pada aksi separuh akhir pada 10 Julai nanti selepas pasukan itu mencatat kemenangan dramatik 2-1 ke atas tuan rumah Jerman. -KOSMO! ONLINE