PETALING JAYA – Penyanyi dan juga pelakon terkenal, Adibah Noor mengesahkan diriny terkena serangan bell’s palsy pada bahagian kiri mukanya sejak tiga minggu lalu.
Penyanyi yang popular menerusi lagu Terlalu Istimewa itu ketika dihubungi Kosmo! berkata, keadaannya semakin baik namun masih dalam sesi rawatan untuk pulih sepenuhnya.
“Saya terkena serangan bell’s palsy ketika sedang berkumur dan menggosok gigi di rumah.
“Saya pelik kenapa air meleleh daripada mulut selain sebutan juga tidak berapa jelas ketika bercakap.
“Tetapi, saya tidak terus pergi membuat pemeriksaan di hospital kerana ada penggambaran pada hari tersebut,” ujarnya.
Selepas membuat pemeriksaan dengan pakar saraf, doktor telah mengesahkan wajahnya mengalami serangan bell’s palsy.
“Alhamdulillah selepas tiga minggu melakukan fisioterapi kini saya sudah semakin sembuh.
“Masa mula-mula doktor pakar saraf mengesahkan saya terkena bell’s palsy, perasaan saya ketika itu sedih sebab baru sahaja dapat beberapa tawaran kerja.” katanya.
Ujar Adibah lagi, disebabkan kandungan gula dalam darahnya tinggi, doktor memberitahu bahawa dia memerlukan tempoh antara tiga sehingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya.
“Sebab doktor kata saya akan pulih dalam tempoh tersebut, saya nekad untuk melakukan rawatan fisioterapi setiap hari.
“Saya harap saya cepat sembuh berbanding daripada jangkaan yang doktor beritahu. Saya perlu kembali normal dan cepat kembali bekerja seperti biasa,” tegasnya yang tidak memberitahu sesiapa tentang serangan tersebut kecuali keluarga dan rakan-rakan terdekat.
Pada 21 Disember lalu, Adibah ada memuat naik sekeling foto dalam Instagram ketika berada di sebuah pusat rawatan.
Menerusi hantaran tersebut, Adibah atau nama sebenarnya Adibah Noor Mohamed Omar memaklumkan dia masih lagi dalam fasa rawatan susulan mengenai gangguan saraf bahagian kiri wajahnya.
Awal bulan ini, pelakon Faye Kusairi turut diserang penyakit sama. Faye yang ketika itu sarat hamil dan kini baru bersalin masih menjalani rawatan susulan penyakit tersebut. – K! ONLINE