KUALA LUMPUR – Biarpun rasa menggelikan dan jijik, pelakon Hariz Hamdan tetap optimis menjayakan babak cium kaki dalam drama Astro Original, X-Change.
Hariz atau nama sebenarnya sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, berkata, sebagai pelakon baharu, dia menganggap itu sebagai cabaran sebagai pelakon.
“Bayangkan sebelum penggambaran babak itu keadaan hujan lebat. Keadaan lantai berlumpur dan berpasir dengan habuk dan lalat.
“Pada awalnya agak jijik untuk buat babak itu, tapi saya faham ini merupakan tanggungjawab sebagai seorang pelakon untuk jayakan babak itu,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana Astro Original X-Change di ibu kota semalam.
Hariz yang membawakan watak sebagai Qabil memberitahu, babak tersebut tidak membuatkan dia serik untuk berlakon apatah lagi menolak untuk melakukannya.
“Babak tersebut sudah ada dalam skrip dan saya tidak mempunyai masalah untuk melakukannya selagi perkara itu tidak bertentangan prinsip saya.
“Babak itu juga menjadi kekuatan dalam drama itu. Tidak dinafikan babak itu perlu dilakukan beberapa kali bagi mendapatkan beberapa sudut kamera,” ujarnya.
Drama X-Change arahan Norhanisham Muhammad (Labu) itu turut dibintangi oleh Datuk Rosyam Nor, Arfie Shah, Joey Leong, Sadiq Jamil, Steve Yap, Marisa Yasmin, Angeline Tan, Alvin Wong dan Shweta Sekhon.
Siri terbaharu Astro Originals X-Change akan bermula siaran pada 12 Julai depan di Astro Premier (saluran 110) dan pukul 9.30 malam di Astro AEC (saluran 306), On Demand, Astro GO dan Sooka. – KOSMO! ONLINE