JAKARTA – Satu klip video tular di media sosial memaparkan sejumlah pengunjung yang sanggup berenang bersama sampah sarap di sebuah pantai di Indonesia, lapor akhbar Tribunnews semalam.
Senario itu dirakam di Pantai Pasir Putih, Kecamatan Katibung dalam wilayah Lampung.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @undercover.id, sebilangan pengunjung terutamanya kanak-kanak dilihat sedang berseronok dan merendamkan diri dalam air kotor itu.
Lebih mengejutkan apabila air tersebut dipenuhi sampah sarap yang terapung, seperti plastik, sisa makanan dan botol air mineral.
Menurut pengunjung, mereka dikehendaki membuat pembayaran untuk masuk ke pantai itu.
Biarpun disediakan dengan pelbagai kemudahan, kebanyakan orang berasa ‘geli’ untuk menggunakan atau memanfaatkannya.
Namun, ada pengunjung yang sanggup berenang bersama ‘hiasan’ pantai itu tanpa rasa segan. – AGENSI