fbpx

Euro 2024: Switzerland impi sejarah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain Switzerland menjalani latihan terakhir sebelum turun membuat perhitungan dengan England tengah malam ini. - AFP

DUSSELDORF – Switzerland mempunyai alasan kukuh untuk menghadirkan rasa gerun buat England yang bakal dihadapinya pada aksi suku akhir Euro 2024 tengah malam ini.

Pada aksi 16 terbaik dalam edisi empat tahun lalu, skuad Red Crosses pernah mencipta sensasi apabila menyingkirkan gergasi Eropah, Perancis.

Bagi tonggak berpengalaman, Steven Zuber, Switzerland tidak ada alasan untuk hanya menetapkan had, sebaliknya harus bercita-cita besar untuk mara lebih jauh termasuk impian menewaskan England.

Zuber juga berharap sejarah kemenangan ke atas Perancis mampu memberikan impak besar kepada perjuangan pasukan kali ini.

Menurutnya, walaupun dibarisi ramai pemain berusia 30 tahun ke atas, namun Switzerland sudah membuktikan keupayaan ketika mengikat Jerman 1-1 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.

“Perkara yang bagus buat kami adalah kami saling mengenali antara satu sama lain sejak 10 ke 15 tahun lalu. Jadi kami sudah tahu apa perkara buruk dan baik yang ada pada setiap pemain.

“Ini akan memudahkan kerja kami, malah kem kali ini juga berlangsung dengan cukup baik. Semangat kami berada pada tahap terbaik dan persekitaran akan jadi lebih baik jika kami memperoleh keputusan cemerlang,” katanya.

Zuber yang bakal genap usia 33 tahun bulan depan itu muncul sebagai salah seorang pemain utama sewaktu edisi empat tahun lalu.

Daripada senarai pemain yang memperkuatkan Switzerland, enam daripada kesebelasan utama ketika aksi menentang Perancis empat tahun lalu akan terus kekal dalam senarai utama pada perlawanan dengan England kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI