MERSING – Jabatan Perikanan Negeri Johor (DOF) memberi amaran kepada orang ramai tentang bahaya serangan gastropoda khususnya di perairan Mersing ketika ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Johor, Nurhuda Ibrahim berkata, spesis dikenal pasti sebagai petropoda adalah antara organisma akuatik berbahaya dan mempunyai sengat yang boleh memudaratkan manusia.
Katanya, kehadiran petropoda dikesan oleh penyelidik daripada Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung pada 11 Jun lalu di kepulauan Mersing.
Menurutnya, Petropoda berasal dari perairan tropika dan subtropika berikutan perubahan iklim, peningkatan suhu air serta air ballast perkapalan yang berlaku dipercayai menjadi punca penyebaran spesis tersebut ke perairan Malaysia.
“Moluska ini mempunyai sengat yang boleh menyebabkan keradangan, kegatalan, kekeringan, pengelupasan, kemerahan dan kulit bersisik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, spesis tersebut dijangka berakhir selepas peralihan monsun. – KOSMO! ONLINE