PETALING JAYA – Dua remaja perempuan berusia 15 dan 16 tahun kini hidup dalam ketakutan akibat diganggu along, dipercayai cuba menuntut hutang RM10,000 yang dibuat ibu mereka.
Bapa remaja berkenaan dikenail sebagai Liong, 44, berkata, mereka sekeluarga mula diganggu sejak seminggu lalu menerusi WhatsApp disertai kata-kata kesat dan ugutan.
Malah, gambar mereka tiga beranak bersama ibu dan kakak bekas isterinya, turut didedahkan di media sosial.
“Anak beritahu ada dapat WhatsApp daripada nombor tak dikenali. Dia hantar gambar saya dan keluarga cakap bekas isteri ada hutang dan minta kami bayar.
“Bila anak tanya ibu mereka, dia mengaku ada hutang along RM10,000. Saya bimbang along datang rumah atau kacau anak di sekolah sebab mereka kata kalau tak dapat cari ibu, akan cari kami.
“Saya dan wanita itu sudah bercerai kira-kira tujuh tahun lalu dan tidak dapat dipastikan bila pinjaman itu dibuat,” katanya ketika sesi sidang akhbar, di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Biro Perkhidmatan Rakyat Selangor, Henry Teoh Kien Hong menggesa supaya pihak terbabit tidak lagi menganggu Liong Peng dan keluarga.
“Ia adalah ancaman dan menimbulkan kebimbangan kepada keluarga mangsa dan pihak kami. Laporan polis telah dibuat oleh Liong Peng dan kami gesa kekacauan ini dihentikan segera,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE