fbpx

PRK Sungai Bakap: 39,151 pengundi pilih wakil rakyat baharu esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEBERANG PERAI – Seramai 39,151 pemilih berdaftar akan melaksanakan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, bagi memilih wakil rakyat atau Yang Berhormat (YB) baharu kawasan itu, esok.

Kesemua sembilan pusat pengundian yang mengandungi 65 tempat mengundi atau saluran dijadualkan dibuka serentak bermula pukul 8 pagi dan ditutup pukul 6 petang.

Lokasi pusat pengundian adalah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Boon Beng, SMK Bandar Tasek Mutiara, Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Tasek, SK Sungai Duri, SMK Tun Syed Sheh Barakbah, SK Sungai Bakap, SK Jawi dan SK Sungai Kechil.

Proses pengiraan undi akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi dekat Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi, yang sebelum ini menjadi lokasi penamaan calon, 22 Jun lalu.

Pada pilihan raya ini, tiada pusat mengundi awal dibuka pada hari pengundian yang sebelum ini ditetapkan pada 2 Julai lalu disebabkan kesemua 57 anggota polis telah menggunakan undi pos.

PRK DUN Sungai Bakap menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara, Dr. Joohari Ariffin, 60, dari Pakatan Harapan (PH) dengan bekas pegawai khas kepada Allahyarham Nor Zamri Latiff, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Abidin Ismail, 56, mewakili Perikatan Nasional (PN).

Bagi calon bertanding, hanya Abidin atau lebih mesra disapa sebagai Abang Abidin akan membuang undi esok di SK Sungai Duri manakala Dr. Joohari tidak turun mengundi kerana merupakan pengundi di DUN Sungai Acheh, juga kawasan di bawah Parlimen Nibong Tebal.

PRK ini dijangka sengit memandangkan Dr. Joohari mewakili Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) dalam misi merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi parti itu selama tiga penggal dari 2008, sebelum jatuh ke tangan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu.

Kawasan Sungai Bakap yang berada di bawah Parlimen Nibong Tebal diadakan semula pilihan raya susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff akibat keradangan dalam perut, pada 24 Mei lalu.

Pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal mewakili PN diangkat menjadi wakil rakyat selepas menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI