KUALA LUMPUR – Malaysia diseru untuk mengambil langkah positif dan berani dengan menunjukkan akhlak Islam dalam menyantuni masyarakat bukan Islam di negara dan rantau ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, seruan itu diusulkan oleh Ketua Institusi Al-Azhar (Sheikh Al-Azhar Al-Sharif), Al-Imam Al-Akbar Sheikh Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb dalam pertemuan di Seri Perdana, Putrajaya, malam tadi.
Menurut Anwar, Sheikh Al-Azhar Al-Sharif turut menyentuh soal kekuatan asas muslim dan menerima kenyataan kepelbagaian yang terdapat di Malaysia termasuk perbezaan kaum dan agama.
“(Prof. Dr. Ahmad Muhammad) menggesa saya untuk bekerja lebih kuat bagi menghimpunkan kekuatan umat dengan memastikan sikap berbaik sangka serta hormat-menghormati dalam kalangan umat islam dan bukan islam di negara ini.
“Malah, beliau mengusulan agar kita ambil langkah lebih positif dan berani dengan menunjukkan akhlak islam dalam menyantuni bukan islam di Malaysia dan rantau Asia ini.
“Insya-Allah, kita akan tunaikan amanat ini dengan sebaik mungkin,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengajian Quran dan Sunnah oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kepada Sheikh Al-Azhar Al-Sharif, Prof. Dr. Ahmad Muhammad di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini hari ini.
Terdahulu, Pro Canselor USIM, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz berkenan menyempurnakan penyampaian anugerah berkenaan yang diadakan sempena Majlis Konvokesyen Khas USIM.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau secara peribadi terpegun dengan kupasan pidato Prof. Dr. Ahmad Muhammad yang begitu meluas dan berharap ia dapat dimanfaatkan serta disebarkan ke seluruh negara.
“USIM buat keputusan bijak mengiktiraf sarjana ulung. Bukan sahaja mengiktiraf universiti dan negara Malaysia tapi turut mengiktiraf sarjana dan ilmu mengukir pandangan ilmuan yang menekankan soal adab dalam pendidikan.
“Sheikh Al-Azhar Al-Sharif mempunyai sumbangan yang sangat besar kepada dunia islam dan kita mendapat manfaat besar kerana Al-Azhar menjadi benteng utama dalam mempertahankan akidah ilmu dan menanam semangat dan roh islam dalam masyarakat,” jelasnya.
Sebelum ini, Prof. Dr. Ahmad Mohammad dilaporkan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama empat hari bermula 2 Julai lalu.
Selain pertemuan bersama Perdana Menteri, Sheikh Al-Azhar Al-Sharif juga mengikuti beberapa program antaranya Lawatan serta Bicara Eksekutif Madani di Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam, Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana serta Sesi Pertemuan bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia. – KOSMO! ONLINE