PETALING JAYA – Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pembayaran pengagihan 4.25 sen seunit untuk dana utamanya Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.
Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Dr Zeti Aziz berkata, pemegang unit ASB akan turut menerima pembayaran ehsan bersempena Ulang Tahun ASB ke-30 0.75 sen seunit untuk 30,000 unit pertama mereka.
Menurut beliau, jumlah keseluruhan pembayaran pengagihan bernilai RM7.6 bilion ASB tersebut akan memanfaatkan seramai 10.2 juta pemegang unit yang memiliki 173.2 bilion unit.
“Pengagihan pendapatan merangkumi pengagihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit. Tahun ini juga bersempena ulang tahun ASB yang ke-30, PNB berbesar hati mengumumkan pengagihan 0.75 sen bagi 30,000 unit pertama.
“Pengagihan pendapatan ini memberi pulangan efektif 5 peratus kepada pemegang unit yang mempunyai 30,000 unit dan ke bawah. Bagi pemegang unit melebihi 30,000 unit, mereka juga menerima manfaat pengagihan ehsan ini.
“Ini adalah tanda penghargaan kami kepada semua pemegang unit ASB yang terus setia bersama kami sepanjang 30 tahun dana ini diperkenalkan,” katanya ketika mengumumkan agihan pembayaran ASB secara maya dari Menara PNB di ibu negara hari ini.
Pengumuman itu sekali gus menjadikan jumlah
pengagihan pendapatan dan bonus terkumpul dana tersebut sepanjang 30 tahun iaitu sejak mula ia diperkenalkan pada tahun 1990 adalah sebanyak RM159.6 bilion.
Pada tahun lalu, ASNB mengumumkan pembayaran pengagihan sebanyak 5.50 sen seunit untuk dana ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019. – K! ONLINE