GEORGE TOWN – Isteri pemain skuad Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, 25, kini berada di kampung halaman keluarganya di Pedang, Kedah selepas dibenarkan keluar dari wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) Sabtu lalu.
Berita itu dimaklumkan sendiri oleh bapa Syafiq, Ahmad Ibrahim, 56, kepada wartawan Kosmo! di Bayan Lepas, di sini malam tadi.
Menurut Ahmad, menantunya, Nur Amalina Nurain, 25, selamat tiba di kediaman keluarganya pada malam Sabtu lalu selepas bertolak dari Kuala Lumpur dengan menaiki pesawat pada lewat petang.
“Nur Amalina kini berehat di kediaman keluarganya dan akan mendapatkan rawatan susulan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini nanti.
“Kepulangan Nur Amalina tempoh hari disambut dengan suasana pilu oleh bapanya, Norain Shahadan, 50, dan beberapa ahli keluarga lain.
“Dia (Nur Amalina) kini nampak semakin tenang dan ceria disamping suaminya dan anak mereka, Aaira Nur Saffiya yang kini berusia dua tahun,” katanya.
Ahmad memberitahu, dia dan isterinya akan ke kediaman keluarga menantunya itu esok untuk bertemu dengan mereka.
Mengenai Syafiq, Ahmad menyifatkan yang anaknya itu seorang yang kuat semangat dan sepenuh masanya kini hanyalah untuk isteri dan anaknya.
“Masa Syafiq kini adalah memfokuskan keluarganya termasuk memberi suntikan semangat kepada isteri. Saya percaya, Syafiq mampu melakukannya.
“Riak wajah Syafiq juga kembali ceria berbanding pada awal kejadian lalu. Dia dilihat mencium pakaian anak bongsunya, Muhammad Aisy Saqeef pada malam selepas pengebumian arwah,” ujarnya lagi.
Dalam kejadian pada 6 Disember lalu, tiga terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq terbabas di kilometer 163.6 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Sungai Bakap, Nibong Tebal di sini kira-kira pukul 4 pagi.
Antara yang maut, bayi Muhammad Syafiq yang berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef, ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, dan wanita warga Indonesia, Titik Sukamti, yang berusia 30-an.
Muhammad Syafiq dan Aaira Nur Saffiyya hanya cedera ringan, manakala Nur Amalina dilaporkan parah. – K! ONLINE