KOTA BHARU – Seorang pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan mencabul seorang bayi perempuan berusia 1 tahun 11 bulan pada minggu lalu.
Tertuduh, Mohamad Zulazhar Ibrahim,32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual dengan mencabul seorang bayi perempuan berusia 1 tahun 11 bulan di sebuah rumah di sebuah rumah di Pasir Tumboh di sini kira-kira pukul 9 malam pada 26 Jun lalu.
Mohamad Zulazhar didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 18 Julai ini untuk pihak pendakwaan mengemukakan fakta kes dan prosiding jatuh hukum. Difahamkan, isteri tertuduh merupakan pengasuh yang menjaga bayi tersebut. – KOSMO! ONLINE