KUALA LUMPUR – Lebih 300 pengunjung hadir memeriahkan program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam usaha memupuk budaya kesejahteraan dan kebersihan persekitaran yang sihat di Perumahan Awam (PA) Sri Kota, di sini pada Ahad lalu.
Program anjuran Pejabat Kesihatan Cheras (PKC) itu turut menitikberatkan amalan menjaga kebersihan persekitaran sekali gus mampu mengelak penularan kes demam denggi dan sebagainya.
Pengerusi Komunikasi untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) PA Sri Kota, Halijah Husin berkata, jelajah tersebut amat penting dalam usaha memupuk budaya kesejahteraan dan kebersihan persekitaran di perumahan ibu kota itu.
“Saya ingin mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan kepada warga Cheras khususnya penduduk PA Sri Kota kerana mereka sentiasa komited dalam melaksanakan apa jua aktiviti yang dianjurkan dengan penuh semangat demi kebaikan dan kesihatan bersama,” katanya.
Selain Jelajah ANMS, turut berlangsung pada program tersebut adalah One Hour Malaysia Clean-Up dan Gotong-Royong Mega Perangi Aedes 1.0.
Pelbagai aktiviti menarik berlangsung seperti pameran kesihatan, WoW Truck, aktiviti cari dan musnah, jom jalan sihat, pertandingan mewarna serta mencari jentik-jentik, ‘Trash to Cash’, reka cipta barangan terpakai dan senamrobik.
Hadir sama, Pegawai Epidemiologi PKC, Dr. Renugadevi Kanabalan serta Ketua Cawangan Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Dr. Norazman Mohd Rosli. – KOSMO! ONLINE