SEBERANG PERAI – Jawatankuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa menyelar tindakan pihak yang cuba ‘menyekat’ keinginan pengundi untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Sabtu ini.
Beliau berkata, tindakan pihak berkenaan disifatkan sebagai tidak sihat apatah lagi ia diadakan semasa kempen pilihan raya itu dijalankan.
“Saya faham ada pihak yang berkempen supaya ada pihak jangan keluar mengundi, ini tidak sihat.
“Kita ingin menggalakkan supaya para pengundi yang mempunyai hak hendaklah menunaikan hak dan tanggungjawab masing-masing,” katanya dalam satu video ucapan yang dimuat naik menerusi Facebook rasmi Abang Abidin hari ini.
Dalam pada itu, Annuar yang merupakan bekas pemimpin UMNO itu turut menyifatkan calon Perikatan Nasional (PN) dari parti Pas, Abidin Ismail diyakini mampu membawa aspirasi rakyat selain mempunyai kelebihan dalam memperjuangkan masalah yang dihadapi penduduk menerusi pengalaman yang dimiliki.
“Maka adalah penting, kita menambah bilangan wakil rakyat daripada saf pembangkang yang boleh membawa suara kita. Sebab itulah Pas memilih Abang Abidin (nama panggilan Abidin) kerana kita mahu orang yang dapat mengikuti denyut nadi rakyat.
“Kita tidak fancy ataupun tidak mengambil kira soal kelulusan yang tinggi dan sebagainya. Tapi kalau tidak ada pergaulan dengan masyarakat, kalau kita tidak biasa bergaul dengan rakyat, kita tidak biasa berucap hal rakyat, yang naik pentas ini akan tergagap-gagap.
“Apa lagi nak bawakan suara-suara rakyat walaupun ada kelulusan yang tinggi. Nak banding dari semua sudut, semua aspek, Abang Abidin adalah calon yang terbaik.
“Bukan sahaja menyambung legasi Abang Zam malah boleh membuat tindakan yang lebih baik lagi dengan adanya sokongan saudara-saudari para pengundi di Sungai Bakap,” ujarnya.
Kerusi DUN Sungai Bakap menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Abidin dengan calon dari Pakatan Harapan (PH) mewakili Kerajaan Perpaduan, Dr. Joohari Ariffin.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan berikutan kematian Nor Zamri akibat penyakit keradangan dalam perut pada 24 Mei lalu. -KOSMO! ONLINE