fbpx

Pelajar fizik di Malaysia lebih rendah dari Thailand, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SHAH ALAM – Malaysia berada di kedudukan 53 dari segi pengambilan mata pelajaran fizik di kalangan para pelajar sekolah.

Pengerusi Persatuan Bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris berkata, kedudukan tersebut adalah jauh ketinggalan berbanding Singapura yang berada di tangga kelapan, Vietnam (10), Thailand (12) dan Indonesia (15) berdasarkan data dari International Physics Olympiad yang julung kali dikeluarkan pada 2023.

Katanya, ini menunjukkan kecenderungan minat pelajar terhadap mata pelajaran berasaskan sains terus rendah.

“Kalau lihat, analisis calon yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu menyaksikan hanya 29.42 peratus daripada 373 525 calon yang mengambil mata pelajaran matematik tambahan, biologi (19.16 peratus), fizik (24.3 peratus) dan kimia (24.54 peratus).

“Data pada tahun 2023 menunjukkan peratus pelajar yang mengambil jurusan sains tulen hanya 16.38 peratus. Kadar ini sangat membimbangkan,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis perasmian penutup dan penyampaian Hadiah Pementasan Mini Teater Stem Selangor Tahap 1 Kohort 4 yang disempurnakan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin.

Justeru, kata Noraini, tindakan segera perlu diambil agar Malaysia amnya dan Selangor khususnya sekiranya ingin menjadi negara atau negeri maju dalam bidang teknologi serta kecerdasan buatan (Al).

Beliau menjelaskan, pelbagai faktor menyebabkan situasi berlaku antaranya kurangnya budaya memupuk minat dari akar umbi lagi.

“Selain dari guru, kita juga perlu melihat dari segi kurikulum seterusnya mengaitkan apa yang dibelajar dengan kehidupan seharian mereka.

“Kerjaya pun kena ada sebab kalau belajar sahaja namun tidak tahu apa karier boleh diceburi akan menyebabkan minat mereka berkurangan,” katanya.

Sehubungan itu, Noraini menegaskan pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai industri dalam mendedahkan pelajar mengenai pendapatan akan diperoleh selepas menguasai mata pelajaran berasaskan sains.

“Dalam pada itu, projek seperti Mini Teater ini adalah platform yang sesuai untuk mengasah kemahiran teknikal dan memperlengkapkan pelajar dengan keupayaan untuk komersialkan idea inovasi mereka.

“Keunikan program ini adalah pendekatan teater yang digunakan membuatkan para pelajar rasa seronok dan tidak takut untuk mendalami ilmu STEM,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI