fbpx

Lelaki didakwa ambil upah along baling bom petrol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Alor Gajah, Melaka. Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

ALOR GAJAH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api membabitkan kerugian berjumlah RM8,281.82, bulan lalu.

Tertuduh, Yew Weng Dong, 25, mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Nariman Badruddin.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan khianat dengan api yang menyebabkan kerosakan sebuah kereta jenis Perodua Alza milik seorang wanita berusia 35 tahun.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3.30 pagi di sebuah rumah di Taman Mengkuang Masjid Tanah dalam daerah Alor Gajah pada 6 Jun lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ehsan Nasarudin memohon tarikh baharu untuk serahan dokumen dan mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.

Peguam Dan Francis yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan rendah dengan alasan keluarga tertuduh tidak berkemampuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin bercagar beserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu saksi sehingga kes selesai dan menetapkan 5 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan, polis menahan seorang lelaki selepas dipercayai mengambil upah daripada sindiket along di Singapura dengan bayaran RM1,000 untuk melakukan kes khianat menggunakan bom petrol buatan sendiri.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa mempelajari cara membuat bom petrol melalui laman sosial dan mengambil upah kerana mahu melangsaikan hutang along selepas dia terlibat dengan judi di Genting Highlands, Pahang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI