KUALA LUMPUR – Pelakon sensasi Aliff Aziz mengakui dia kini dalam tempoh berehat sebelum memutuskan untuk kembali aktif dalam bidang lakonan selepas ini.
Aliff atau nama penuhnya, Mohammad Aliff Aziz, 33, memberitahu, dia kini banyak menghabiskan masa dengan keluarga di Singapura.
“Sekarang saya banyak habiskan masa untuk berehat dari segi mental dan emosi. Kadang-kadang orang kata konon macam kitalah yang terpaling sedih, tidak begitu pun.
“Saya manusia biasa yang ada banyak kesilapan jadi saya ambil masa untuk berehat dan meluangkan masa bersama keluarga.
“Ada beberapa perkara yang sedang saya usahakan dan kini kembali perlahan-lahan untuk kumpul semula semangat serta lebih akrabkan lagi hubungan antara keluarga saya di Singapura,” katanya kepada Kosmo! online selepas prosiding baca pertuduhan kes khalwat membabitkan dirinya dan pelakon, Ruhainies di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, bekas juara Gegar Vaganza musim kesembilan itu juga memaklumkan, keputusan untuk berehat bukan disebabkan tidak menerima sebarang tawaran lakonan ketika ini.
“Berehat itu bukan maksudnya menolak dan tiada tawaran tetapi saya pilih untuk bertenang sekejap supaya tidak terburu-buru buat sebarang keputusan berkaitan kerjaya atau apa sahaja.
“Jadi, kini saya lebih kepada berehat dan banyak menyanyi dalam media sosial menghiburkan hati,” katanya lagi.
Aliff juga menegaskan dia masih mempunyai wang simpanan untuk meneruskan kehidupannya ketika ini.
“Alhamdulillah, saya masih ada lagi wang simpanan.
“Sebelum ini rezeki ada juga dan beberapa perkara yang saya tak boleh kongsi. Apa pun doakan yang baik-baik untuk saya,” ujarnya.
Hari ini, Aliff dan Ruhainies mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie Abu Suffian Abu Yaziz atas pertuduhan khalwat yang berlaku di kondominium di ibu negara pada 9 Mac lalu. – KOSMO! ONLINE