BOLOGNA – Pasukan Serie A, Bologna dilaporkan bersedia untuk mendengar tawaran dari mana-mana pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk melepaskan bintang pertahanan mereka, Riccardo Calafiori.
Pemain antarabangsa Itali itu telah menarik perhatian beberapa kelab besar termasuk Juventus yang menyatakan minat untuk memburu khidmatnya dan mungkin akan dibida pada jendela perpindahan kali ini.
Bagaimanapun, Bologna masih terkilan dengan tindakan Juventus yang ‘mencuri’ jurulatih mereka, Thiago Motta dan mungkin tidak akan melepaskan pemain itu ke Turin sekali gus membuka peluang buat beberapa pasukan di England seperti Arsenal, Liverpool dan Chelsea.
Arsenal dilaporkan hanya akan mendapatkan pemain pertahanan baharu sekiranya berjaya menjual Jakub Kiwior yang kini berada dalam radar Juventus dan AC Milan, namun belum menerima bidaan rasmi.
Sementara itu, pengarah sukan baru Liverpool, Richard Hughes, dikatakan berminat dengan pemain berusia 22 tahun itu dan mengikuti perkembangannya sejak berada di Bournemouth ketika The Reds dilaporkan sedang mencari pemain tengah berkaki kiri pada musim panas ini.
Chelsea juga sedang mencari pemain baru untuk memperkukuh pertahanan pasukan, walaupun sebarang langkah untuk mendapatkan Calafiori memerlukan mereka menjual beberapa pemain lain terlebih dahulu, manakala West Ham juga turut menyertai senarai saingan untuk memburu pemain pertahanan Itali itu.
Bologna akan menuntut bayaran tinggi dijangka melebihi £40 juta (RM232.4 juta) kerana kelab Calafiori sebelum ini, FC Basel berhak mendapatkan 40% daripada sebarang penjualan yang melebihi £5 juta (RM29.05 juta). – AGENSI