KAJANG – Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 24 September ini bagi menjatuhkan hukuman terhadap pengasuh taska yang mengaku bersalah mendedahkan bayi perempuan berusia 17 bulan yang mungkin menyebabkannya cedera.
Hakim Mazuliana Abdul Rashid membenarkan penangguhan hukuman terhadap Nor A’in Ismail, 24, yang sedang hamil sembilan bulan setelah peguam S. Priyalatha yang mewakili wanita itu memaklumkan anak guamnya dijangka bersalin minggu hadapan.
“Pihak kami ingin membuat permohonan jatuh hukum ditetapkan kepada satu tarikh baharu selepas tertuduh bersalin dan berpantang.
“Setakat hari ini, tertuduh masih mengekalkan pengakuan bersalah dan laporan forensik dan perubatan mangsa juga telah selesai,” kata peguam itu.
Priyalatha berkata, anak guamnya hadir pada prosiding hari ini dan ini jelas menunjukkan tertuduh akan memberikan kerjasama penuh sehingga kes selesai.
Timbalan Pendakwa Raya, Faelly Jeffrey Lanjungan tidak membantah permohonan itu selepas mengambil kira faktor kemanusiaan dan keadaan tertuduh yang sarat mengandung.
Pada 6 Jun lalu, Nor A’in didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa di sebuah taska di Bandar Mahkota Cheras di sini pada 4.15 petang, 28 Mei lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE